Hentikan air mata kanak-kanak. Hentikan kezaliman

 


Program yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak Malaysia tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh anak-anak palestin yang mungkin sebaya dengan mereka. Mungkin juga kesengsaraan anak-anak Palestin ini akan membangkitkan rasa syukur atas segala nikmat yang telah diperolehi...

Solidariti untuk Palestin...


Petikan kenyataan media KPM berhubung pelaksanaan minggu soladiriti Palestin di Institut pendidikan di bawah KPM :


KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PELAKSANAAN MINGGU SOLIDARITI PALESTIN DI INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyahut pendirian kerajaan Malaysia untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin. 
Sokongan ini adalah satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat. 

Dalam masa yang sama kemajuan teknologi media dan komunikasi pada hari ini menyebabkan murid-murid terdedah kepada pelbagai jenis kandungan termasuk yang berkaitan dengan konflik antarabangsa dan krisis kemanusiaan. 

Pelaksanaan intervensi diperlukan untuk memberi pencerahan kepada murid-murid berkenaan perkara ini. Justeru, mengambil kira perkembangan situasi semasa, KPM akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November 2023. 

Program ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara. 

Program ini bertujuan mendidik murid-murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan. Ini termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial. 

Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam Pendidikan Sivik di sekolah. 

Selain itu, menerusi penganjuran program ini murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program ini dan akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat. Aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja. 

KPM sentiasa berusaha memupuk nilai kemanusiaan dan mencintai keamanan sejagat dalam kalangan murid-murid agar sentiasa cakna dan responsif terhadap isu semasa. 

TAMAT

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 26 OKTOBER 2023

Post a Comment

0 Comments