Kisah Saidina Nu'Aiman, Sahabat Rasulullah SAW Yang Nakal



Kita ketahui bahawa Rasulullah SAW mempunyai ramai sahabat dengan pelbagai tingkah laku mereka. Ada sahabat yang dermawan, lemah lembut dan ada juga sahabat yang suka membuat lawak jenaka.
Antara salah seorang sahabat yang sering membuat Nabi Muhammad SAW tertawa ialah Nu'aiman bin Amr bin Rafa'ah.

Diceritakan karakter Nu'aiman ini jenis yang nakal dan sering mengusik orang tidak kira siapapun, termasuklah Rasulullah SAW.
Terdapat satu kisah di mana ada satu rombongandari Syam datang ke Madinah untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

Kebanyakan unta-unta yang datang dari Syam ini terkenal dengan unta yang berkualiti tinggi (gred A). Pada ketika itu, ada seorang sahabat yang bersama dengan Nu'aiman bergurau kepadanya.
"Nu'aiman, tengoklah unta-unta itu, kalau sembelih pasti sedap jika unta itu dibuat panggang," jelas sahabat Nu'aiman.

Apabila rakannya melihat unta-unta rombongan dari Syam itu, habis kesemuanya telah disembelih oleh Nu'aiman.
Selepas menyembelih kesemua unta itu, Nu'aiman berlari hingga ke hujung Madinah dan bersembunyi. Ketika itu, Nu'aiman meminta pertolongan daripada seorang sahabat dan menyatakan bahawa beliau dikejar oleh musuh.

Oleh itu, Nu'aiman juga meminta untuk menyembunyikan lokasinya kepada sesiapa sahaja termasuklah Rasulullah SAW.

"Tak mungkinlah Rasulullah SAW hendak datang hingga ke hujung Madinah," fikir sahabat itu.
Maka sahabat itu bersetuju dengan perjanjian yang dibuat oleh Nu'aiman itu.
Selepas sahaja rombongan dari Syam berjumpa dengan Rasulullah, mereka terkejut kesemua unta mereka telah disembelih.
Rasulullah SAW bertanya, "Ini angkara siapa?"
"Nu'aiman Ya Rasulullah," jawab sahabat-sahabat.

Selepas Rasulullah SAW mendengar ia adalah angkara Nu'aiman, Baginda SAW sudah pun mengetahui sikap sahabat itu.
Pada ketika itu, rombongan dari Syam datang ke Madinah adalah untuk memeluk agama Islam. Disebabkan itu, Rasulullah SAW memerintahkan Saidina Umar untuk mencari ganti semula unta-unta itu kepada mereka.

Selepas itu, Rasulullah SAW mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk mencari Nu'aiman dan berjaya sampai ke ladang persembunyian Nu'aiman di hujung Madinah.
Sampai sahaja di tempat itu, Rasulullah SAW bertanyakan kepada sahabat yang berada di situ di manakah Nu'aiman?
Sahabat itu berasa bersalah untuk menjawab pertanyaan Rasulullah SAW kerana telah berjanji dengan Nu'aiman untuk merahsiakan lokasinya, dalam masa yang sama dia tidak mahu berbohong kepada Rasulullah SAW.

Oleh itu, sahabat itu bercakap tidak nampak kelibat Nu'aiman, namun dalam masa yang sama tangannya menunjukkan lokasi Nu'aiman.

Apa yang menariknya adalah respon Nabi Muhammad SAW yang tidak marah dan bertanyakan kepada Nu'aiman mengapa melakukan perkara sedemikian.
Walaupun sikap Nu'aiman nakal, namun dia bersikap jujur dan memberitahu perkara sebenar bahawa ada seorang sahabatnya yang bergurau dengannya.

Selain itu, diceritakan juga Nu'aiman pernah menjual sahabatnya.
Pada suatu hari, Nu'aiman mengikuti Saidina Abu bakar RA berdagang di Syam. Dalam kalangan sahabat itu, ada yang ditugaskan untuk menjaga harta makanan.
Ketika itu, Nu'aiman berasa lapar dan meminta sebuku roti untuk dimakan kepada sahabat yang diamanahkan untuk menjaga makanan.
"Tidak boleh, kita perlu menunggu Abu Bakar pulang dahulu dan makan bersama-sama," jawab sahabat yang menjaga makanan itu.
"Kau cari pasal dengan aku," jawab Nu'aiman yang membuatkan sahabat itu berasa cemas kerana mengetahui sikap Nu'aiman.

Lalu Nu'aiman pergi ke pasar dan bercakap kepada orang-orang pasar bahawa dia mempunyai seorang hamba yang dia mahu menjualnya.

Perkara ini menyebabkan orang-orang pasar ingin mengetahui lokasi hamba itu dan Nu'aiman membawa mereka ke tempat sahabatnya.

Nu'aiman memberitahu bahawa sahabatnya adalah hamba yang diberitahunya tadi dan walaupun sahabatnya menyatakan dirinya adalah seorang yang merdeka.

Nu'aiman berjaya menjual kawannya itu dengan hasil 20 dirham. Namun ada riwayat lain menyatakan bahawa Nu'aiman menjual kawannya sebanyak 100 dirham.

Hasil daripada menjual sahabatnya, Nu'aiman membeli makanan dan minuman, bahkan turut membeli juga hadiah untuk Rasulullah SAW.

Ketika waktu makan, Saidina Abu Bakar RA bertanya tentang sahabat yang menjaga makanan.
"Aku telah menjualnya," jawab Nu'aiman
Lalu Saidina Abu Bakar pergi semula ke pasar dan membeli semula sahabatnya tadi. Apabila selesai sahaja mereka berdagang di Syam, lalu mereka berangkat pulang ke Madinah.

Setelah pulang, sahabat-sahabat menceritakan kisah Nu'aiman ini kepada Rasullah SAW membuatkan baginda tertawa sehingga melihatkan gigi geraham.

Sejak dari peristiwa itu, setiap rombongan yang datang ke Madinah, Rasulullah SAW akan bercerita tentang kisah Nu'aiman itu.

Disebabkan kisah Nu'aiman ini, Rasulullah SAW bersabda ,"Nu'aiman ini akan masuk ke syurga dalam keadaan ketawa," disebabkan Nu'aiman sering membuatkan Rasulullah SAW ketawa.

Walaupun sikap Nu'aiman yang agak nakal dan kelakar, namun dia adalah salah seorang mujahid terawal yang ikut berperang dalam perang pertama Islam iaitu Perang Badar.

Post a Comment

0 Comments