Rehabilitasi

Jika anda pernah mengalami kecederaan, penyakit atau menjalani pembedahan, anda akan dapati keupayaan untuk melakukan aktiviti harian mungkin akan terbatas.

Pelbagai jenis penyakit dan kecederaan boleh mengubah gaya hidup seseorang dan pengalaman ini boleh menyukarkan bukan hanya kepada pesakit tetapi juga kepada ahli keluarga.
Bagi membantu pesakit pulih dan menyesuaikan diri dengan keadaan mereka, rehabilitasi adalah langkah yang terbaik.

Pusat rehabilitasi yang bagus bukan sahaja mempunyai fasiliti yang lengkap malah pakar perubatan yang sedia membantu pesakit.
Jom ketahui lebih lanjut tentang rehabilitasi dan kebaikannya untuk anda.

Jadi Apakah itu rehabilitasi???

Rehabilitasi merupakan proses yang membantu pesakit untuk kembali pulih selepas kecederaan, pembedahan dan penyakit.
Pelbagai faktor yang mempengaruhi tahap kefungsian dan kebolehupayaan seseorang seperti keadaan individu dan persekitaran.
Proses rehabilitasi merangkumi rawatan, penjagaan dan sokongan yang diperlukan untuk membantu pesakit mencapai tahap keberdikarian yang maksima.
Rehabilitasi membantu badan anda pulih, mengembalikan kekuatan, mempelajari kemahiran yang anda hilang atau mempelajari cara baharu untuk melakukan aktiviti harian.
Setiap individu mempunyai proses pemulihan yang unik dengan faktor-faktor di atas untuk diambil kira untuk melalui proses rehabilitasi.
Oleh itu, perancangan rawatan rehabilitasi perlulah disesuaikan mengikut keperluan pesakit yang berbeza-beza.
Terdapat 3 jenis rehab yang utama iaitu cara kerja, fizikal dan pertuturan.
Setiap bentuk pemulihan mempunyai tujuan unik dalam membantu seseorang mencapai pemulihan penuh.
Tetapi semuanya berkongsi matlamat utama untuk membantu pesakit kembali kepada gaya hidup yang sihat dan aktif.

1.  Terapi Cara Kerja
Terapi carakerja atau occupational therapy membantu individu yang memerlukan bantuan khusus untuk mengambil bahagian dalam aktiviti harian, atau ‘pekerjaan’.
‘Pekerjaan’ bukan hanya merujuk kepada pekerjaan anda tetapi juga boleh merujuk kepada amalan penjagaan diri, tugas harian dan aktiviti rekreasi.
Matlamat terapi carakerja adalah membantu individu mengambil bahagian dalam perkara yang mereka mahu dan perlu lakukan bagi menjalani gaya hidup bebas.
Ahli terapi membantu dari segi mengubah cara melakukan sesuatu seperti makan, memakai baju, menyiapkan aktiviti sekolah dan banyak lagi.
Antara individu yang perlukan terapi cara kerja:
  • Kanak-kanak yang mempunyai kecacatan fizikal
  • Orang dewasa yang mempunyai kemurungan yang perlu bantuan melibatkan diri semula dalam aktiviti harian
  • Individu yang kehilangan keupayaan memegang barang
  • Warga emas yang mempunyai had pergerakan fizikal
  • Pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang
  • Ahli korporat yang inginkan keseimbangan kerja/kehidupan
  • Individu yang telah mengalami kecederaan otak traumatik dan kehilangan fungsi kognitif


2. 
 Terapi Fizikal

rehabilitasi

Terapi fizikal atau physical therapy menyediakan rawatan bagi individu yang mengalami kesakitan atau kesukaran untuk berfungsi, bergerak atau menjalani kehidupan secara normal.
Biasanya terapi fizikal diberikan bagi mereka yang telah mengalami strok, kecederaan atau pembedahan, pemulihan selepas bersalin dan kecederaan sukan.
Ahli terapi akan menilai mobiliti, keseimbangan, degupan jantung, postur anda dan sejauh mana anda boleh berjalan atau memanjat anak tangga.
Terapi yang biasa ditawarkan:
  • Senaman khas untuk melegakan kesakitan, memperbaiki mobiliti dan kembalikan kekuatan
  • Latihan keseimbangan dan cara jalan
  • Menguatkan fungsi kardiovaskular
  • Menguruskan kesakitan
  • Urut, terapi haba atau sejuk atau ultrasound untuk meredakan sakit otot dan kekejangan

3. 
 Terapi Pertuturan

Terapi pertuturan atau speech therapy menyediakan rawatan bagi mereka yang mengalami masalah pertuturan termasuklah bahasa, komunikasi, suara, menelan dan kefasihan.
Matlamat terapi pertuturan adalah untuk menggabungkan mekanik yang berkaitan dengan pertuturan dengan penggunaan bahasa.
Hasilnya adalah untuk membantu pesakit berkomunikasi dengan cara yang lebih berguna dan berfungsi.
Antara kondisi atau penyakit yang memerlukan terapi pertuturan:
  • Dyslexia – kesukaran membaca dengan tepat dan fasih
  • Dysphagia – kesukaran menelan
  • Aphasia – kehilangan keupayaan memahami dan bertutur akibat kecederaan otak
  • Masalah kefasihan – kesukaran bertutur dengan fasih seperti gagap
  • Penyakit Parkinson’s
  • Cerebral palsy
  • Down syndrome

Post a Comment

0 Comments